#klu nak bce....bce smpai habis..sbb kat prtngahan cerita ada bnyak prsoalan yg prlu dijawab. Jawapannya ade di penghujung cerita...slamat membaca!! =D
‘Kringgg!!!!’,
kedengaran loceng sekolah berdering menandakan sudah tamat sesi
persekolahan. Mirza bergegas menuju ke
musolla sebaik sahaja memberi salam kepada guru yang baru habis mengajar. Pili
air dipusingkannya. Kesegaran wudhu’ jelas terasa setelah Mirza selesai
mengambil wudhu’. Laungan takbiratul ihram kedengaran di musolla apabila Mirza
menjadi imam bagi solat Zuhur berjemaah.
Setelah
selesai menunaikan solat, Mirza melepaskan lelah di perkarangan musolla bersama
teman-temannya. Mereka berbual-bual
tentang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) yang akan tiba tidak lama
lagi. “ Hmm…sedar tak sedar, SPM tinggal
dua bulan lagi….”, kata Mahfuz. “Betul
tu, rasa macam baru habis PMR kan? Tak lama lagi SPM…” , tambah Izhar. Air muka Mirza kelihatan tidak senang. Dia berkata,” Yakinkah yang kita masih hidup
dalam minit yang akan datang? Masih mampu bernafas? Sudahlah, SPM itu hanyalah kejayaan duniawi
semata-mata, tidak ada gunanya untuk dibawa ke akhirat!!”. Mahfuz dan Izhar hanya mampu terdiam. Mereka tidak mampu membalas kata-kata Mirza
yang tegas itu walaupun tidak tepat. Mirza sememangnya merupakan seorang yang
kuat pendiriannya namun hanya memandang kepada kejayaan ukhrawi semata-semata.
Mirza
beredar dari situ lalu pulang ke asrama.
Dia menghenyakkan badannya ke atas katil sejurus masuk ke dalam
dorm. Mirza bermonolog, “Alhamdulillah,
aku dikurniakan akal yang berbeza dengan orang lain. Mereka hanya memikirkan perkara duniawi
sedangkan aku tidak. Ukhrawi itu lebih
penting! Aku bukanlah orang yang bodoh,
kerana aku tidak terlupa untuk berfikir tentang akhirat..” Timbul rasa ujub dan takabbur dalam
dirinya. Fahaman yang dimiliki Mirza
akan agama sememangnya tidak bertepatan dengan Islam. Memang tidak dapat dinafikan bahawa dunia
merupakan satu permainan yang melalaikan, tetapi dunialah yang menjadi jambatan
untuk berjaya di akhirat kelak. “ Aku bukan seperti Najib! Pelajar yang langsung tiada masa depan.”,
getusnya di dalam hati. Najib merupakan
pelajar yang paling banyak membuat masalah di sekolahnya. Hanya Tuhan yang tahu betapa nakalnya Najib
yang lebih mesra dpanggil dengan nama ‘Jepp’.
“Allah!”,
Mirza tersentak dari lamunan. Dia
terlelap di kerusi taman setelah penat menjalani sesi orientasi di universiti.
“ Hey, buat apa lepak kat sini….jom balik bilik! “, Roy,rakan sebilik mengajak
Mirza pulang ke asrama. Di universiti,
Mirza mengambil jurusan Kejuruteraan Elektrik.
Rakan-rakan yang dikenali di universiti sememangnya berbeza dengan
rakan-rakan yang dikenalinya sewaktu di sekolah menengah dahulu. Antara rakan
barunya ialah Roy, Taji dan Tazz.
* * *
Jam
menunjukkan jam 2 petang. Kuliah baru
sahaja selesai. Roy mengajak Mirza dan
rakan-rakan yang lain untuk makan tengah hari di medan selera yang berdekatan. Mereka berbual-bual sambil menikmati juadah
yang disajikan. “ Mir, kau dulu budak sekolah agama ya?”,soal Roy. “Ya, kenapa?”, jawab Mirza “ Mir, kau tahu tak? Ada satu benda yang
aku pelik dengan Islam ni…”, soal Taji pula.
Mirza berasa hairan,”Aik, apa yang peliknya?”. “Tak ada lah….cuba kau fikir, kalau Allah tu
adil, kenapa orang kafir yang memang dilahirkan kafir akan masuk neraka
walaupun mereka berbuat baik dekat dunia? Orang Islam pula akan masuk syurga
kalau mereka buat baik dekat dunia. Adil
ke macam tu??”. Mirza terdiam. Soalan
yang diajukan benar-benar memerangkapnya sebagai seorang pelajar sekolah agama
ataupun dengan lebih tepat lagi sebagai pelajar Islam. Ternyata Mirza masih belum memahami Islam
dengan lebih tepat. “Err….aku tak
tahulah. Kau tanyalah ustaz-ustaz.”,
jawab Mirza.
Sewaktu
dalam perjalanan pulang ke asrama, Mirza masih tertanya-tanya. Benarkah Allah itu adil? Dia buntu. Keserabutan jelas terasa apabila teringatkan kata-kata rakannya tempoh hari,” Alaa....leceh
betul nak ikut agama ni..Itu tak boleh. Ini tak boleh. Tuhan pun bukannya kita
boleh nampak! ” Mirza tidak mampu
menjawab persoalan itu. Kehidupan Mirza
di universiti sememangnya berbeza dengan kehidupannya sewaktu di bangku
sekolah. Rakan-rakannya juga amat
berbeza. Mirza mula terikut-ikut dengan
kehidupan rakan-rakannya yang tidak kisah akan kehidupan beragama. Lama-kelamaan, Mirza hanyut dalam arus
kehidupan yang jauh dari agama. Dia juga
mudah berasa bosan apabila berkawan dengan segelintir pelajar yang mengikut
cara hidup Islam.
*
* *
“Allahuakbar! Allahuakbar!!”,
kedengaran azan berkumandang menandakan telah masuknya waktu solat Asar. “Mirza,bangun Mirza. Dah masuk waktu solat
Asar ni,” Hafiz mengejutkan Mirza yang sedang enak dibuai mimpi di siang
hari. Hafiz merupakan teman sebilik
Mirza di asrama selain daripada Roy. “Kau nak apa? Pergilah solat
seorang-seorang. Buat apa ajak
aku!”,kata Mirza yang masih mahu menyambung tidurnya. Hafiz berkata, “ Mirza,
sebagai orang Islam, kita mesti mengingati antara satu sama lain. Solat itu tiang agama. Tak elok
tangguh-tangguh sol…” “Cukup!!”, Roy yang baru sahaja pulang ke bilik mencelah.
“ Dia nak tidur ke, nak buat apa ke, dia punya pasal! Yang kau sibuk ni
kenapa!” “Fakhrul,kita kena ingat. Orang
Islam mesti mengamalkan amar makruf nahi munkar. Mana boleh buat baik
seorang-seorang!”,kata Hafiz. Roy masih
tidak berpuas hati, “Tak payah nak bajet alimlah, masuk kubur masing-masing,
buat apa nak ajak orang!” Hafiz mendiamkan
diri. Baginya, tidak ada gunanya untuk menegur orang seperti Roy. Lagipun, Hafiz sudah menunaikan tanggung
jawabnya sebagai seorang muslim dalam mengajak kepada kebaikan. “ Arrghh! Panas
aku duduk dalam bilik ni Roy. Kita keluarlah!”, kata Mirza dengan nada yang
agak marah.
Mirza dan Roy meninggalkan asrama
tanpa menunaikan solat asar. Mereka berdua pergi ke Side Valley Giga Mall untuk
mengambil angin seketika. Di situlah tempat mereka dan rakan-rakan melepak pada setiap hujung minggu. “Mir,aku tengok kau ni lain macam . Ada masalah ke?”,soal Roy kepada Mirza. “Emm….tak, cuma aku keliru sikit, pasal
Islam….”, jawab Mirza. “La…ingatkan apa
tadi. Nah, ambik sebatang, ‘settle’ masalah kau”, kata Roy sambil menghulurkan
sebatang rokok. Mirza mengambil rokok
tersebut lalu menghisapnya dengan harapan rokok itu dapat menenangkannya.
Inilah lumrah kehidupan segelintir remaja yang menganggap bahawa rokok dapat
melapangkan fikiran mereka.
Hakikatnya,penyakitlah yang bertambah! “Ataupun Mir,kalau nak senang,kau
jadi macam aku. Jadi ‘free thinker’….”, tambah Roy. “Err..’free thinker’? Buat
apa? “, Mirza berasa hairan. “Tak ada
la… Kau sendiri cakap yang kau keliru dengan Islam. Jadi ‘free thinker’ kan senang! Tak payah
fikir pasal agama. Kalau Islam, itu tak
boleh, ‘couple’ tak boleh.” kata Roy yang sememangnya telah menyimpang jauh
dari ajaran Islam. Mirza bertambah
keliru. Pada mulanya, Mirza tidak setuju dengan apa yang diperkatakan oleh
Roy. Hari demi hari, persoalan yang berada dalam benak fikiran
Mirza masih belum terjawab. Akhirnya, Mirza mengambil keputusan untuk menjadi
seorang ‘free thinker’…..
* * *
Cuti semester baru sahaja tiba. Seperi biasa, pelajar di universiti akan
pulang ke kampung halaman masing-masing setelah penat menuntut ilmu di
perantauan. Begitu juga dengan Mirza yang mahu pulang ke kampung halamannya
yang terletak di Bagan Datoh, Perak. Dua
not berwarna merah dikeluarkannya untuk membayar tiket bas yang berharga RM
15.70. Saat inilah yang amat
dinanti-nantikannya sejak mula mendaftar di universiti.,saat bertemu keluarga
tercinta. Mirza menaiki bas yang
bernombor 21. Dia meninjau-ninjau akan
tempat duduk bas yang kelihatan sudah
penuh. Akhirnya,dia menjumpai dua tempat
duduk kosong di bahagian belakang.
Mirza memenuhi tempat duduk
tersebut. Masih terdapat satu lagi
tempat duduk kosong di dalam bas tersebut.
Beberapa minit kemudian, dia terlihat akan kelibat yang pernah
dikenalinya suatu ketika dahulu. Mirza cuba mengamati wajah yang pernah
dikenalinya itu. Ternyata, orang itu adalah
Najib! Insan yang amat dibencinya suatu
ketika dahulu. “ Assalaamualaikum, Mirza!”
Najib memberikan salam kepada Mirza. “Hey,Jepp..lama tak jumpa.” , sapa
Mirza tanpa menjawab salam yang diberikan. “ Lainnya kau sekarang! Tak macam
dulu. Siap berkopiah lagi!”, kata Mirza dengan perasaan yang agak hairan. Penampilan Najib sememangnya berbeza, tidak
lagi seperti dahulu. Ciri-ciri remaja Islam jelas terlihat pada jasad makhluk
yang bernama Najib itu.
Dalam perjalanan pulang ke kampung
,mereka berbual-bual bagi menghilangkan rasa bosan. “ Alhamdulillah….Allah telah mengaturkan
pertemuan antara kita berdua.”,ujar Najib. “ Eh, sejak bila kau macam ni? Haha,
macam ustaz pun ada!”, Mirza
mempersendakan Najib. “ Pertemuan kita ini kebetulan….Kau percaya ke Allah
wujud? Aku tak percaya…”, kata-kata yang dihamburkan dari bibir Mirza
membuatkan Najib tersentak. “Astaghfirullahal ‘aaziiim……kau sedar tak apa yang
kau cakap?” Mirza menjawab, “Mestilah
aku sedar,aku bukannya tengah tidur! Lagipun, aku sekarang hidup sebagai seorang ‘free thinker’…Bebas daripada segala
kongkongan agama..” Kata Mirza dengan nada yang penuh bangga. Najib terdiam. Dia sedar bahawa dia mempunyai tanggung jawab
yang cukup besar untuk membawa Mirza kembali ke pangkal jalan. Nafas
ditarik bagi mendapatkan ketenangan.
Najib berdoa di dalam hati bagi mendapatkan kekuatan untuk menghadapi
Mirza yang sememangnya telah banyak berubah.
“Boleh aku tahu, kenapa kau tak
percaya yang Allah itu wujud?”,soal Najib.
“Kau tahu tak, kalau aku nampak Allah dah lama aku percaya. Dah tak nampak
buat apa nak percaya? Nampak sangat yang
agama ini cuma rekaan manusia.”, Mirza menjawab soalan yang diajukan oleh Najib
itu. “ Oh… baru aku tahu yang kawan aku
ni tak ada akal…” ,kata Najib. Mirza berasa marah apabila dikatakan tidak mempunyai
akal. “Hoi ustaz! Kau siapa nak cakap aku tak ada akal!”. Tengkingan Mirza
terhadap Najib membuatkan semua penumpang bas terdiam. Suasana sepi seketika, hanya golek tayar
sahaja yang kedengaran. Najib berkata,
“Eh, kenapa kau marah aku cakap kau tak ada akal? Aku tak nampak pun akal kau….” Mirza
terkesima. Memang benar apa yang
dikatakan oleh Najib itu. Akal tidak boleh dilihat!
“ Lagi satu, kau tahu tak? Aku tak percaya ada
orang yang ciptakan bas ni.” , kata Najib. “ Kau gila apa? Mustahillah tak ada orang yang ciptakan bas ni. Ingat senang ke nak buat bas ni ?Dengan
enjinnya lagi, reka bentuk basnya lagi.”,ujar Mirza. Najib bertanya kepada
Mirza, “Kau nampak ke pencipta bas ni?” “Jangan tanya soalan bodoh boleh tak?
Orang yang buat bas ni bukannya ada dekat sini pun,mana boleh aku nampak!”
,jawab Mirza. Najib membalas kata-kata tersebut dengan nada yang penuh hikmah.
“ Hmm…tahu pun. Sebab itu aku percaya
yang Allah itu wujud walaupun aku tak nampak Allah. Kau sendiri cakap yang mustahil tak ada orang
yang ciptakan bas ni. Sama juga dengan
bumi yang sentiasa kita pijak. Mustahil tak ada pencipta yang menciptakan bumi
yang besar ini , objek yang sekecil jarum sekalipun ada yang
menciptakannya. Ingat! Kita memang tak
boleh nampak Allah, tapi kita boleh merasakan kewujudan-Nya sepertimana kita
rasa yang kita ada akal.”.Mirza hanya mampu mendiamkan diri. Dia mula berfikir akan hujah yang dinyatakan
oleh Najib yang sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Pintu hatinya mula terbuka sedikit demi sedikit.
Mirza
berkata, “Memang betul apa yang kau cakapkan.
Aku tak boleh sangkal lagi…Memang Allah wujud! Tapi, aku tak percaya yang Allah itu adil!
Kalau Allah tu adil, kenapa orang kafir yang memang dilahirkan kafir akan masuk
neraka walaupun mereka berbuat baik dekat dunia? Orang Islam pula akan masuk
syurga kalau mereka buat baik dekat dunia.
Adil ke macam tu??” Najib menarik
nafas sedalam-dalamnya. Soalan yang diajukan kali ini ternyata lebih sukar berbanding
soalan yang pertama. Namun, soalan ni
tidak sesekali melemahkan semangatnya
untuk membawa Mirza pulang ke pangkal jalan.
Dia yakin bahawa Allah akan membantunya dalam menjalankan usaha dakwah.
“ Baiklah, Islam adalah agama untuk orang yang berakal. Orang yang tidak berakal akan terlepas dari
seksaan neraka. Jadi, Allah Maha Adil sebab Allah bagi akal bukan setakat orang
Islam saja, tetapi untuk orang kafir juga.” Mirza mencelah, “Habis tu? Orang
kafir yang guna akal dia untuk buat baik
macam mana pula? Kenapa mereka masuk neraka?” Najib menyambung kata-katanya,
“Memang,mereka tetap masuk neraka sebab mereka kufur. Walaupun pada zahirnya
mereka kelihatan baik, namun dalaman mereka masih terdapat kekufuran. Sebagai manusia yang berakal, mereka pasti
akan mempersoal akan agama yang mereka anuti.
Buktinya kau sendiri. Kau mempersoalkan tentang agama Islam. Bagi orang
kafir yang menggunakan akal, mereka mesti akan terfikir mengapa mereka menyembah
berhala yang tidak bernyawa
Perbualan
mereka yang agak padat itu menyebabkan mereka tidak sedar akan masa yang
berlalu. Hati Mirza semakin terbuka
setelah mendengar hujah-hujah yang dikeluarkan oleh Najib. Namun, masih ada
lagi persoalan yang masih belum terungkai
dalam benak fikiran makhluk bernama
Mirza itu. “ Jepp,aku masih ada satu lagi kemusykilan mengenai Islam. Ada satu ayat Qur’an yang berbunyi, ‘tiada
paksaan dalam agama’. Habis tu, kenapa
kita mesti ikut suruhan Allah sedangkan tiada paksaan dalam agama?”.
Persoalan yang ditimbulkan benar-benar mencabar pemikiran Najib untuk
mengeluarkan hujah yang mampu menjawab persoalan tersebut. “ Dari tadi asyik
kau saja yang tanya aku soalan. Giliran
aku pula, kau naik bas ini ada orang paksa tak?” Soal Najib bagi menjawab persoalan yang
dinyatakan oleh Mirza. “Mana ada orang paksa-paksa aku naik bas ini. Mestilah
atas kehendak aku sendiri…” , jawab Mirza. “Nampak tak? Kau naik bas ini tanpa
ada paksaan sebab dah jelas inilah cara
yang terbaik untuk kau balik kampung.
Kalau naik teksi mungkin mahal, kalau jalan kaki memang penat!” ,kata
Najib.
“Jadi,
apa kaitannya dengan ayat Al-Qur’an yang aku cakap tadi?” ,tanya Mirza. “ Eh,
lupa pula. Ayat Qur’an berkenaan ‘tiada
paksaan dalam agama’ sepatutnya dibaca sampai habis. Keseluruhan ayat 256 surah
Al-Baqarah berbunyi seperti ini, "Tidak ada paksaan dalam agama, kerana
sesungguhnya telah nyata kebenaran dan kesesatan. Oleh itu sesiapa yang tidak
percayakan taghut dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah
berpegang kepada simpulan yang teguh, yang tidak akan putus. Dan Allah Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui." Menurut karya Ibnu Kathir, ayat ini menjelaskan
bahawa agama Islam telah jelas kebenarannya. Jadi, manusia yang menggunakan
akal mereka akan menganuti agama Islam tanpa sebarang paksaan kerana sudah
jelas akan kebenaran dan kesesatan. Sama
juga dengan situasi kau tadi. Engkau naik bas ini tanpa sebarang paksaan sebab
sudah jelas ini cara benar dan terbaik untuk kau pulang ke kampung.”, jelas Najib
dengan penuh bersemangat. Tiba-tiba, bas yang mereka naiki hilang kawalan
Keadaan semakin panik. Pemandu bas tidak
berdaya untuk berbuat apa-apa. Hanya
keriuhan sahaja yang kedengaran dalam pacuan empat roda tersebut.
Tanpa diduga, . “ Arrgghh!! Ada
lori besar!” jerit salah seorang penumpang. “Tidaak!!! Aku belum sempat
bertaubat!!!” ,jerit Mirza dengan penuh ketakutan.“ Dumm!!!!”
“Fuhhh!!” Mirza terjaga dari tidur. Ternyata peristiwa yang dialaminya sebentar
tadi hanyalah sebuah mimpi. Peristiwa kemalangan tersebut benar-benar
membuatkan Mirza berasa cemas. Nafas ditarik sedalam-dalamnya bagi mendapatkan
ketenangan. Mirza bersyukur kerana masih
diberikan nyawa. “ Hmm…mimpi rupanya, nasib baik aku masih hidup.” , bisik hati
kecil Mirza. Dia melihat tempat duduk di sebelahnya. Tempat tersebut masih
kosong. Perbualannya dengan Najib
sebentar tadi hanyalah sebuah mimpi. Selang beberapa minit kemudian, bas yang
dinaikinya sampai ke destinasi yang dituju.
Jam menunjukkan waktu 6.45 petang. Mirza
berjalan kaki dari stesen bas pekan menuju ke kampung halamannya. Dalam perjalanan, dia berfikir akan mimpi
yang dialaminya sebentar tadi. “Adakah
ini satu petunjuk?” ,bisik hatinya. Segala persoalan yang mengelirukan hidupnya
telah terjawab melalui mimpi tersebut. Mirza meneruskan perjalanan. Tanpa disedari, dia semakin hampir dengan
rumahnya. Kelihatan ibu Mirza sedang
menanti di luar rumah. “ Mak buat apa tunggu dekat luar ini,dah senja dah
ni.”kata Mirza. “ Mak bukan apa Mir..Mak risau Mir tak balik-balik. Mak takut apa-apa jadi dekat Mir.” ,ujar ibunya.
“ Tak apa, mak tak payah risau. Mir selamat . Nasib baik
mak doakan keselamatan Mir.”, Mirza cuba menenangkan ibunya. “ Pandai
anak mak..Ha,baru mak ingat. Tadi kawan Mir ada telefon, dia cakap kejap lagi
dia sampai. Katanya nak jumpa Mir. Mak
lupa pula nak tanya nama dia siapa.” ,kata ibunya. Mirza tertanya-tanya akan gerangan yang
dikatakan ibunya itu. Siapakah orang
itu?
“Assalaamu’alaikum..” , kedengaran
suara memberi salam di luar rumah. “ Ha, itupun kawan Mir. Pergilah jumpa dia.
Emak masuk rumah dulu ya.”, kata ibu Mirza.
“ Eh, Najib! Kau rupanya!” , kata Mirza dengan nada yang agak terkejut. Najib kelihatan sungguh berbeza. Penampilannya tidak ubah seperti yang digambarkan dalam
mimpi Mirza. Ciri-ciri
remaja Islam jelas terpapar pada jasad makhluk yang bernama Najib itu. “ Minta
maaflah sebab datang tak bagi tahu. Aku sebenarnya dah lama nak jumpa kau. Bukan
apa, cuma nak berterima kasih…”, kata Najib. Mirza berasa hairan, “Berterima
kasih? Untuk apa?” Najib berkata, “Kau
tahu tak, disebabkan kau, hati aku tergerak untuk mendekati Islam. Disebabkan
kau, aku tekad untuk berubah!”
Kata-kata
yang dihamburkan oleh Najib itu membuatkan Mirza terdiam. .Insan yang amat dibencinya suatu ketika
dahulu rupa-rupanya telah berhijrah kepada kebaikan sedangkan dia telah
tersesat jauh dari jalan yang lurus. Hakikatnya, Mirza pada suatu ketika dahulu
telah menjadi pendorong bagi Najib untuk
berhijrah ke jalan yang benar. Pada saat
ini, Mirza berasakan bahawa dia adalah makhluk yang paling hina di atas muka
bumi ini. Tanpa diduga, gugurlah air mata jernih dari kelopak matanya yang
sudah lama tidak dibasahi dengan linangan keinsafan. Barulah dia sedar bahawa dia sudah menyimpang
dari jalan kebenaran. “Eh,Mirza..Kenapa engkau menangis?” , tanya Mirza dengan
penuh kehairanan. “ Aku rasa hina sebab dulu aku cuba menjalankan usaha dakwah
ke atas kau, tetapi kini aku yang ersesat dari jalan Allah…” luah Mirza kepada
Najib. “ Jangan risau, Allah akan menerima taubat hambanya selagi nyawa belum
sampai ke halkum, selagi matahari belum terbit dari barat. Bersyukurlah kerana
kita masih lagi sempat dikurniakan
hidayah-Nya serta mempunyai masa untuk bertaubat. Jangan bersedih…Moga-moga Allah terima taubat
kita…”kata Najib untuk menenangkan Mirza “ Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan
melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah!”,Mirza melafazkan syahadah
dengan penuh penghambaan..
“Allaahuakbarullaahuakbar!”,
kedengaran suara azan berkumandang menandakan telah masuk waktu solat
Maghrib. Najib berkata, “ Sudahlah,
jangan bersedih. Ayuh kita ke masjid!” Mirza mengesat air matanya sambil
tersenyum syukur. “Ayuh!”
-TAMAT-
Cter Menarik..! :) tapi klu na suro orang bce..
ReplyDeletebackground kene nmpak menarik supaya senang na bce..
hmm,...thanks 4 the advice! :D
ReplyDeletetjuk,,wondering.
ReplyDeletekarakter,,stylo.
cerita,,interesting.
kesimpulan=
gempax gile!
keep it up!