Followers

Saturday, 12 October 2013

Remaja Berwawasan



         



 " Men,aku rasa kalau kau tulis dekat blog kau pun okay..."

  Kata-kata tersebut membuatkan aku terfikir, tiada salahnya sekiranya aku berkongsi sedikit kelebihan yang Allah pinjamkan.

      Terima kasih atas cadangan ,sahabat.  Wallahua'lam . Moga ilmu bertambah, moga ada berkatnya.


     Remaja yang berwawasan merupakan modal insan yang amat penting dalam memacu kemajuan sesebuah negara. Perkara ini sememangnya bertepatan dengan konsep Islam Hadhari yang bertujuan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang sahsiahnya. Keutuhan sesebuah negara tidak akan terbina tanpa kewujudan pemimpin-pemimpin yang dahulunya juga pernah menjalani kehidupan sebagai remaja . Semangat nasionalisme di Tanah Melayu  pada suatu ketika dahulu juga tidak akan sampai ke puncaknya sekiranya golongan muda pada ketika itu tidak menyemarakkan semangat tersebut. Realitinya, remaja menjadi tunjang kepada kemajuan negara. Untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang gah di mata dunia, Malaysia perlu memiliki remaja yang mempunyai wawasan yang jelas dan jitu. Persoalannya, apakah ciri-ciri yang perlu ada dalam diri saya agar tergolong dalam kalangan remaja yang berwawasan?



          Antara ciri yang perlu ada pada diri saya sebagai remaja yang berwawasan ialah memiliki pegangan agama yang kuat pada agama yang saya anuti iaitu agama Islam. Agama merupakan suatu elemen yang cukup signifikan dalam kehidupan insan sejagat. Agama juga menjadi alat yang memandu manusia ke jalan yang mampu membawa kejayaan duniawi dan ukhrawi. Remaja yang berwawasan sudah pasti memiliki pegangan agama yang teguh kerana agama mendidik manusia untuk berpandangan jauh dan mempunyai matlamat yang jelas. Lantaran itu, saya perlu menghayati segala tuntutan agama dengan hati yang tulus dan ikhlas. Ilmu agama yang telah dicedok juga perlu diaplikasikan agar dapat menjadikan saya sebagai seorang remaja yang cemerlang peribadinya. Rasulullah ialah individu yang terbaik untuk dijadikan tamsilan individu yang berwawasan. Dengan adanya pegangan yang kukuh terhadap agama, Rasulullah telah menjadi insan yang terhebat sepanjang zaman sehinggakan impaknya turut dirasai pada hari ini.



          Selain itu, saya perlu memiliki personaliti yang unggul untuk menjadi remaja yang berwawasan. Ciri-ciri ini merupakan sesuatu yang cukup penting dalam usaha membina peribadi yang hebat. Sewaktu kecil dahulu, soalan yang kerapkali diajukan kepada kita ialah " siapa nama awak?". Meskipun kelihatan enteng, jawapan kepada soalan tersebut hakikatnya mencerminkan siapa diri kita. Dalam konteks saya sebagai remaja, personaliti merupakan cerminan utama untuk menggambarkan siapa diri saya. Dengan lebih tepat lagi, kecemerlangan akhlaklah yang menentukan sama ada saya merupakan remaja yang berwawasan ataupun tidak. Lantaran itu,saya perlu berusaha untuk memperkasa peribadi agar dapat menjadi remaja berwawasan. Realitinya, sesuatu wawasan tidak akan mampu dicapai tanpa peribadi yang benar-benar kental. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung mana kan dapat sagunya.

          







          Di samping itu, ciri-ciri yang perlu ada dalam diri saya sebagai remaja berwawasan ialah memiliki cita-cita yang jelas. Soalan berkenaan cita-cita juga seringkali disoal pada setiap kanak-kanak sejak mereka besekolah tadika lagi. Ini menunjukkan bahawa cita-cita merupakan suatu elemen yang utama dalam kehidupan insan sejagat. Seandainya saya bercita-cita hendak menjadi seorang penulis, saya perlu berusaha untuk memperkasa kemahiran berbahasa. Inisiatif ini merupakan salah satu perkara yang dapat menjadikan saya sebagai seorang remaja yang lebih berwawasan. Selain itu, cita-cita juga bukan sekadar kerjaya impian semata-mata. Cita-cita melibatkan soal matlamat dan tujuan hidup. Sebagai seorang muslim, saya perlu bercita-cita menjadi hamba Allah yang taat. Lantaran itu, saya wajib berusaha untuk menggapai cita-cita tersebut di samping memiliki ciri-ciri remaja yang berwawasan.


          Ciri-ciri yang terakhir sebagai remaja yang berwawasan ialah memiliki dada yang sarat dengan ilmu. Untuk menjadi individu yang berkerjaya pada suatu hari nanti, saya perlu memperoleh pencspaian yang cemerlang di peringkat universiti. Tegasnya di sini, saya perlu menuntut ilmu dengan sebaik mungkin ketika di bangku sekolah untuk mendapatkan tempat di universiti. Prakarsa membajai ilmu di dada merupakan aspek yang paling penting dalam pembinaan insan yang membawa kepada kegemilangan ummah. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Yunani telah menjadi sebuah tamadun yang gah di mata dunia kerana menitikberatkan soal ilmu pengetahuan. Dengan berusaha mendalami ilmu yang bermanfaat, saya dapat menjadi remaja berwawasan yang juga merupakan aset kepada kemajuan negara.



          Konklusinya, saya perlu berpegang teguh kepada agama, memiliki cita-cita yang jelas, personaliti yang unggul dan dada yang sarat dengan ilmu untuk menjadi remaja yang berwawasan. Realitinya, remaja yang berwawasan merupakan modal insan yang amat penting dalam memacu kemajuan sesebuah negara. Keutuhan sesebuah negara tidak akan terbina tanpa kewujudan pemimpin-pemimpin yang dahulunya juga pernah menjalani kehidupan sebagai remaja . Untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang gah di mata dunia, Malaysia perlu memiliki remaja yang mempunyai wawasan yang jelas dan jitu. 

                                  - Bahasa Melayu, Kertas 2 bahagian B -

*Ini sepatutnya hal ini.

*sebaik mungkin sepatutnya baik

*ilmu yang bermanfaat - contoh tidak dinyatakan




 Credit to cikgu yang penah mengajar:

(Sekolah menengah)
2013- Cikgu Siti
2013,2010- Cikgu Kasmani
2012- Cikgu Wahdi
2011- Cikgu Ummie
2009- Cikgu Raouf

(Sekolah Rendah)
2008- Cikgu Mohan
2008- Cikgu Zarina
2007- Cikgu Sobri
2006- Cikgu Azila
2005- Cikgu Mostaza
2004- Cikgu Emi
2004- Cikgu Arini
2003- lupa nama

 (Tadika)
Cikgu Yasmin
dan..




  Ehem .

    Peperiksaan percubaan SPM yang lalu membuatkan aku terfikir bahawa wujud tiga golongan yang bakal menduduki SPM.

     Mereka yang masih tidur.

     Mereka yang sudah bangun.

     Mereka yang  sedang mamai.


   Mereka yang tidur tidak sedar bahawa SPM kian hampir, tiada apa-apa tindakan melainkan hanya membetulkan posisi badan mereka untuk mendapatkan keselesaan yang optimum.

      Mereka yang sudah bangun benar-benar sedar bahawa SPM sudah hampir, maka mereka bertindak seperti orang yang benar-benar waras akal dan fikirannya. Langsir di tepian jendela turut diselak kerana mereka sedar bahawa mereka  tidak sepatutnya terus berada di dalam kegelapan yang menyelubungi mereka.

      Mereka yang sedang mamai turut sedar bahawa mereka bakal menduduki SPM dan apa yang sepatutnya mereka lakukan. Sayangnya, tindakan mereka hanyalah separa sedar. Bukan tidak berusaha tetapi belum cukup memadai. Mereka tidak menjumpai langsir yang perlu mereka selak.

        Dan aku tergolong di kalangan mereka yang mamai .


       NAMUN .


    Ada juga di kalangan mereka yang sudah bangun tidur, tidak tahu ke mana sepatutnya mereka pergi setelah mereka membuka pintu.

       Di mana letaknya tangga?

       Di mana letaknya pintu utama?

       Ke mana sepatutnya mereka pergi setelah keluar rumah?

       Dengan motor?

       Dengan kereta?

       Atau cuma berjalan kaki?



      Memiliki pencapaian yang cemerlang, hala tuju yang jelas  dan tahu bagaimana hendak mencapai wawasan, maka itulah sebaik-baik pelajar.

       Wallahu a'lam, semoga berjaya buat calon SPM, terutamanya pelajar BESTARI. 

                                            -  215 calon 11 A aminn~  -


                                                          ^_^






 

Anda juga mungkin meminati:-