Terbang. Hinggap. Terbang dan terus hinggap. Perilaku turun temurun yang diamalkan oleh makhluk ini, mengundang rasa marah menghinggapi jiwa mereka yang melihatnya. Pak Man Seman berasa tidak senang hati. Dia yang pada mulanya ingin menjamah makanan, membatalkan hasratnya semata-mata untuk membunuh makhluk itu! Isteri Pak Seman sebenarnya sudah lama menguntum senyuman sehingga hampir-hampir menyentuh cuping telinga, benar-benar mengharap agar Pak Seman memuji masakannya.
Ternyata, senyuman daripada seorang isteri yang dikatakannya tidak akan dapat ditewaskan oleh mana-mana bidadari di syurga tidak mampu menyenangkan hatinya pada saat itu. Makhluk itu terus terbang menghinggapi makanan yang terhidang. Rasa tidak puas hatinya terhadap makhluk kecil itu semakin bertambah seperti mana harga minyak yang bertambah sejak akhir-akhir ini.
Pak Seman nekad.
Lantas, Pak Seman menghampiri stor rumahnya yang telah ditinggalkan selama berpurnama lamanya. Stor itu dipenuhi habuk yang menebal seperti pemikirannya yang turut berhabuk. Pak Seman mencapai kayu besbol yang pernah menjadi 'sahabat' nya suatu ketika dahulu.
Ya, kayu besbol.
Dia menghampiri meja makan yang terhidang makanan, berbekalkan tulang empat kerat yang dilapisi otot-otot , menjadikannya kelihatan seperti Arnold Schwarzeneger, ketika sudah tua. Tanpa lafaz 'bismillaahirrahmaanirrahim', Pak Seman menghayunkan kayu besbol itu untuk memukul lalat yang menghinggapi makanan!
Yeeeeeaaaoooowww.
Lalat terus terbang, Pak Seman belum cukup cemerlang.
Gedebushhhh. Kayu besbol dihayunkan dengan sekuat hati apabila lalat menhinggapi makanan.
Prangggplingggprangggg.
Bunyi pinggan yang pecah dek hayunan besbol ke atasnya menggetarkan gegendang telinga Pak Seman. Pak Seman tidak peduli. Apa yang penting, dia dapat menamatkan riwyat lalat itu ! Bhahaha.
Setelah hampir lebih kurang 32 minit 47 saat Pak Seman bergelut dengan lalat yang berwarna hitam keperang-perangan itu, Pak Seman berjaya membunuhnya!Namun, semestinya makanan yang terhidang tadi sudah bertumpahan sana sini. Pinggan mangkuk turut pecah berderai. Kedengaran juga bunyian keroncong dari perut buncit Pak Seman. Dia lapar.
Hanya kerana seekor lalat, dunia seakan sudah kiamat.
Ahaa, perilaku yang dizahirkan oleh Pak Seman memang tak masuk akal bukan? Hanya disebabkan seekor lalat, segalanya musnah.
Padahal Pak Seman boleh menggunakan tangannya untuk menghalau terus lalat tu. Cukup mudah solusinya.
TAPI.
Hakikatnya memang ada antara kita turut melakukan apa yang dilakukan oleh Pak Seman....
"Gila apa, mana pernah orang pukul lalat guna kayu besbol."
Nanti dulu,tak habis ayat lagi. Ada antara kita melakukan apa yang dilakukan oleh Pak Seman dalam konteks yang berbeza.
Baik.
Andaikan makanan itu ialah perkara baik yang kita lakukan, memberikan manfaat buat insan sekeliling.
Andaikan pula lalat yang hinggap itu pula perasaan riya' yang mula berputik dalam diri.
Bukankah ramai yang melenyapkan perkara baik tersebut semata-mata ingin menghalang perasaan riya' daripada terus subur dalam diri? Kesannya, segala niat yang baik sudah terbantut.
Sekiranya anda begitu, anda serupa seperti Pak Seman yang memusnahkan masakan yang disediakan oleh isterinya yang tercinta.
Padahal yang sepatutnya ialah kita menghalau perasaan riya' yang hinggap, bukannya melenyapkan perkara baik yang ingin kita lakukan.
Bina keikhlasan VS buang kebaikan
Apa yang perlu dilakukan ialah BINA KEIKHLASAN,bukannya buang kebaikan.
Teruskan update post yang berguna di FB apabila anda berniat sedemikian, bukannya terus memusnahkan niat baik anda.
Teruskan solat di masjid, bukannya menghalang niat tersebut semata-mata takut riya'.
Teruskan niat anda membantu guru, bukannya membatalkan niat tersebut kerana takut dipandang sinis.
Cuma.
Kalau berniat nak tangkap gambar masa qiamullail seorang diri, dengan air mata yang masih mengalir di pipi sambil membuat gaya duckface, kemudian post di FB dengan caption yang tertera ' Tadi aku Qiam weyhh'.
Baik lupakan, kalau dasarnya bukan kebaikan dan memang bertujuan menunjuk-nunjuk maka tidak perlu serlahkan.
Umpama arak yang terhidang di meja rumah anda kemudiannya dihinggapi lalat, nak pukul dengan kayu besbol pun tak apa hehe .
Semoga menjadi orang baik. Rasulullah pun orang baik-baik. Kata cinta Rasulullah, tak kan tak nak ikut.
^_^