Followers

Thursday, 25 October 2012

BANGKIT!

    Terik mentari hangat menerjah lapisan kulit ku yang seakan-akan terbakar. Dalam kehangatan ini, aku melangkah menuju ke ruang yang dicari-cari untuk mengisi perut iaitu kantin sekolah.  Setibanya di sana, kelihatan ramai ibu bapa sedang meneliti keputusan anak-anak mereka yang rata-ratanya tergolong dalam inteligensia. Kebanyakan mereka berjaya  mengecap falah. Namun, ada juga yang seakan punah. Reaksi yang cukup bervariasi dapat ku lihat, terlukis di wajah mereka. Suka,bangga,..juga kecewa.

      "Itu mereka, bagaimana pula dengan aku?", hatiku berbisik. Lantas, aku menghampiri teman-teman seperjuanganku yang sedang menebarkan deria mata mereka pada kertas yang ditampal pada papan kenyataan. Padanya tercetak kedudukan kami semua dalam peperiksaan percubaan Sijil Menengah Agama (SMA) yang baru sahaja bertandang. Mataku melirik ke arah cetakan tersebut dari atas ke bawah. Namun, masih belum ku temui gabungan huruf yang membentuk namaku....Nama itu masih belum ku temui hinggalah pada kedudukan yang ke ***.

        Ruang mindaku sesak,tersentak.

       
       Apa yang telah aku lakukan? Meskipun peratusan markahku meningkat, kedudukan ku menurun sama sekali. Cukup membimbangkan. Peperiksaan kian hampir sementara aku belum hadir. Hadir dalam kelompok mereka yang berjaya. Mana perginya aku yang dahulunya berdiri sebaris dengan golongan inteligensia terutamanya pada tahun yang lalu? Mana perginya aku yang dulunya sentiasa di tangga lima teratas sewaktu di sekolah rendah? Belum pernah ku peroleh keputusan yang sebegini rupa. Hatiku punah dimamah resah...
  
                                         *                     *                     * 
       
       Aku berjalan berseorangan. Ramai temanku sudah pulang ke rumah. Hanya aku yang sedang menanti kehadiran bapaku. Saat itu, horizon pemikiran cuba ku luaskan. Ku akui, segala yang ku alami adalah berpunca daripada diriku sendiri. Pucuk pangkalnya tetap aku. Sejak dua menjak ini, aku kurang fokus. Aku hanya memandang enteng pada peperiksaan itu. Aku juga tidak berusaha untuk mengkoreksi diriku yang rapuh ini. Alhamdulillah, keresahan yang ku alami kian reda...
  
       Sedang aku berjalan, aku terlihat akan dewan sekolah yang sedang mengalami proses pengubahsuaian. Dalam Bahasa Inggeris, perkataan ini disebut sebagai renovate. Semua tahu bukan?  Kondisi dewan tersebut sememangnya tidak terurus. Pecah sana, pecah sini. Teruk sekali, seakan-akan terkena letusan bom.  Disebabkan keadaan dewan yang sedemikian rupa, calon-calon PMR, SMA, dan SPM terpaksa menduduki peperiksaan di dalam kelas. Hmm, renovate....


           Tiba-tiba, aku mendapat suatu ilham..Ya, 'ilham fitri'. Ilham yang dikurniakan oleh Allah S.W.T buat manusia. Aku sedar bahawa proses 'renovation' ini tidak lari dari hidupku. Malah, tidak lari dari hidup seluruh manusia.'Heart-renovation', inilah yang aku  cuba maksudkan.

              Seperti yang kita tahu, setiap yang rosak perlu diperbaiki... Setiap yang kurang perlu diubahsuai.... Dalam proses 'renovation', kita perlu mengorbankan bahagian tertentu untuk diubahsuai. Sepanjang proses tersebut, bahagian yang diubahsuai kelihatan tidak berguna. Contoh yang terbaik, dewan sekolah. Pelajar tidak dapat menggunakannya kerana terdapat banyak kekurangan, seolah-olah tiada gunanya langsung.
Meskipun begitu, hasil yang baik dapat kita temui apabila proses tersebut selesai. Yang pasti, kondisi yang baharu lebih baik daripada yang sebelumnya..Bukankah begitu?

             Sebagai manusia pula, sudah tentu kita memiliki banyak kekurangan malah tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Maka, setiap yang rosak perlu diperbaiki...Setiap yang kurang perlu diubahsuai...Dalam proses tersebut, PENGORBANAN amatlah penting. Inisiatif yang dijalankan tidak akan lengkap tanpa adanya pengorbanan. Pengorbanan masa, daya, dan diri....Untuk melakukan anjakan paradigma, bukanlah dengan hanya sekelip mata. Prakarsa ini memerlukan masa...Apa yang penting adalah KONSISTENSI! In sya Allah, ada hasilnya..

 
Rasulullah S.A.W bersabda:Amalan yang disukai Allah ialah pekerjaan yang berterusan (konsisten) walaupun sedikit..(riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


   
                            Alhamdulillah, aku tidak lagi sakit..Kini,..aku bangkit!

# Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha...Semoga dapat menghayati erti PENGORBANAN!  : )


Anda juga mungkin meminati:-